Zakat Emas: Penyimpan dan Pelabur Emas perlu tahu

Hadith yang diriwayatkan dari Ali ra, katanya, telah berkata Rasulullah:

“Jika kamu mempunyai 200 dirham dan sudah cukup setahun maka zakatnya adalah 5 dirham, dan emas hanya dikenakan zakat bila sudah mencapai 20 dinar dan sudah cukup setahun, maka zakatnya adalah ½ dinar setiap bertambah maka dengan hitungan tersebut. Tidak wajib zakat kecuali sampai cukup masa setahun”. (H.R Abu Daud)

Apakah Syarat Wajib Zakat:

  • Islam  – Zakat harta diwajibkan ke atas orang Islam dan harta orang Islam sahaja.
  • Merdeka – Zakat hanya wajib ke atas orang yang merdeka, bukan hamba.
  • Sempurna milik – Harta yang dimiliki adalah sempurna milik iaitu mempunyai kekuasaan penuh ke atasnya, bukan hutang dan tidak bersangkutan dengan orang lain.
  • Cukup nisab – Nisab adalah kadar jumlah harta minimum yang diwajibkan zakat, iaitu bersamaan 85 gram emas.
  • Cukup haul – Haul adalah tempoh harta dimiliki, iaitu perlu genap setahun Hijrah (354 hari), bukan setahun Masihi. Sebab itulah digalakkan mengeluarkan zakat harta pada bulan Ramadhan supaya tidak terlupa dan mudah untuk membuat kiraan setahun Hijrah.

Zakat Harta Emas
Nisab emas ialah 20 dinar, 1 dinar = 4.25 gram, maka nisab emas adalah 20 x 4.25 gram = 85 gram.
Zakat emas wajib dikeluarkan ke atas :

  • Emas fizikal (barang kemas, Gold bar, Syiling emas – Dinar)
  • Emas bukan fizikal (akaun pelaburan emas), Akaun simpanan emas (GAP) dan
  • Emas dalam gadaian (Ar Rahnu)
  • Zakat emas dikenakan jika jumlah yang disimpan/dimiliki/digadai adalah bersamaan atau melebihi 85 gram.

Selangor
Boleh rujuk https://www.zakatselangor.com.my/zakat-emas/
Kuala Lumpur
Boleh rujuk https://www.zakat.com.my/

Kiraannya berbeza bagi situasi yang berikut;

  • Emas Perhiasan
  • Emas Bukan Perhiasan
  • Emas Bercagar (Ar Rahnu)
  • Emas Akaun Pelaburan/Simpanan (GAP)
  • Zakat Emas Untuk Perniagaan

Emas Perhiasan
Emas perhiasan adalah emas yang digunakan atau dipakai sebagai perhiasan sama ada sekali-sekala atau berterusan, dan jumlah zakat dikira ke atas harga semasa berat emas tolak nilai ‘uruf (nilai pemakaian emas masyarakat setempat mengikut ketetapan Majlis Ugama Negeri atau Negara).
Rujuk web zakat emas negeri masing-masing

Emas Bukan Perhiasan
Emas bukan perhiasan adalah emas yang disimpan sahaja seperti barang kemas yang tidak dipakai, Gold Bar, Jongkong dan Syiling emas, Dinar emas.  Zakat emas ini dikira berdasarkan harga semasa berat emas tersebut sahaja (tiada nilai ‘uruf)
Zakat = berat emas x harga emas semasa x 2.5%

Emas Bercagar (Ar Rahnu)
Emas bercagar adalah emas yang digadai dan masih dianggap sempurna milik. Zakat emas ini dikira berdasarkan harga semasa berat emas tersebut tolak nilai pinjaman dan upah simpan.
Zakat = (berat emas x harga emas semasa – nilai pinjaman – upah simpan) x 2.5%

Emas Akaun Pelaburan/Simpanan (GAP)
Emas yang dibeli melalui akaun emas juga mesti dizakatkan. Ia masih dikira sebagai emas yang disimpan dan kiraan zakatnya sama seperti emas simpanan.
Zakat = berat emas x harga emas semasa x 2.5%

Zakat Emas Untuk Perniagaan
Timbul persoalan tentang peniaga atau penjual emas yang memiliki emas untuk tujuan perniagaan.  Zakat pekedai emas termasuk di bawah kategori perniagaan. Perniagaan emas yang telah mengeluarkan zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut, maka zakat emas tidak perlu dikeluarkan lagi.

Kesimpulan
Mengeluarkan zakat harta adalah kewajipan, dan merupakan elemen penyucian harta yang utama, maka jagalah perintah ini supaya kita diluaskan rezeki.
Ingat, setiap harta yang dimiliki, ada hak orang lain ke atas harta tersebut.

“Keluarkan zakat adalah antara Rukun Islam yang 5”